Tiada keperluan untuk Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, meletak jawatan.
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John, berkata tiada halangan untuk Ab Ghani berada dalam pencalonan Presiden FAM, yang bakal menyaksikan pertembungannya dengan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Kongres Pemilihan FAM kali ini dilihat lebih menarik apabila kali terakhir posisi tertinggi itu dipertandingkan adalah ketika melibatkan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 2017.
Bagaimanapun, jika Ab Ghani melepasi undian majoriti bagi posisi presiden bulan depan, dia perlu meletakkan jawatannya di MFL secara serta-merta.
"Buat masa ini tiada peruntukan yang memerlukan Presiden MFL untuk berhenti daripada menjadi Presiden untuk bertanding," kata Windsor kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Maka, Presiden MFL boleh bertanding jawatan Presiden FAM seperti biasa, tiada halangan.
"Sekiranya dia terpilih untuk menjadi Presiden FAM, maka dia tidak boleh lagi memegang jawatan Presiden MFL, jadi MFL pula perlu melakukan kongres untuk memilih presiden baharu."