Arsenal mencipta sejarah dalam saingan Liga Juara-Juara apabila menjadi kelab pertama melakar kesemua lapan kemenangan bagi aksi fasa liga, sekali gus menghuni tangga teratas hasil kemenangan 3-2 ke atas Kairat Almaty dari Kazakhstan, awal pagi tadi.
Mikel Arteta menurunkan kesebelasan baharu sepenuhnya berbanding pasukan yang tewas di Emirates kepada Manchester United pada Ahad, dengan kepulangan sentuhan jaringan Kai Havertz berpotensi menjadi aset penting memburu trofi empat pertandingan musim ini.
Advertisement
Pemain kebangsaan Jerman itu tampil buat kali pertama dalam kesebelasan utama selepas hampir setahun berehat susulan kecederaan berpanjangan.
Seawal minit kedua, Havertz mempamerkan kualitinya dengan melakukan hantaran menembusi pertahanan lawan untuk Viktor Gyokeres meledak gol ke-10 musim ini.
Jorginho memberikan sorakan kepada penyokong tuan rumah apabila menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti.
Arsenal kembali memulihkan kelebihan apabila Havertz melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk menjaringkan gol pertamanya musim ini.
Pemain yang pernah menjaringkan gol kemenangan Chelsea pada final Liga Juara-Juara 2021 itu terus memberi impak apabila hantaran lintangnya disudahkan Gabriel Martinelli untuk gol ketiga Arsenal.
Ricardinho merapatkan jurang pada masa kecederaan, membolehkan Kairat menamatkan pengalaman pertama mereka di Liga Juara-Juara dengan sinar positif.