Siapa sangka sorakkan ibu pada 13 tahun yang lalu menjadi pencetus kepada minat terhadap berbasikal dan kini dalam misi memulakan langkah mencipta nama di peringkat antarabangsa buat pelumba berbasikal trek remaja kebangsaan, Eirzam Eidham Mazri.
Banyak pengorbanan yang dilakukan oleh bapanya,, Mazri Rashid, yang berkongsi bahawa semangat yang mendorong anaknya juga terlahir dari naratif mereka berasal dari Dungun, Terengganu, sekampung dengan Datuk Azizulhasni Awang.
Advertisement
"Setelah dia masuk MSN (Majlis Sukan Negeri) Perak, kami hanya pantau dari jauh.
"Tapi sebelumnya, cabaran harian kami adalah keperluan menghantar dan mengambil ke sesi latihan yang mengambil masa 20 minit.
"Dia tidak tinggal di asrama jadi kami perlu menguruskan masa untuk membolehkannya menjalani latihan," kata ibunya, Sri Yuastuti.
Mazri menambah, dia bukanlah dari golongan yang senang, namun untuk sentiasa beri sokongan penuh kepada anaknya itu yang kini berlumba dalam Siri Trek YSD 2026 ini juga bukan satu bebanan bagi mereka.
Harapannya ketika ini hanya satu, untuk melihat Eirzam beraksi dalam Kejohanan Dunia Remaja dengan cemerlang.
"Anak saya ditawarkan menyertai ke MSN Perak setelah bakatnya dikesan ketika saya dengannya berkayuh ke Cameron Highland dari Simpang Pulai.
"Ketika anak bertanding di Filipina, itulah kali pertama saya ke luar negara, kalau tidak saya tiada keinginan pergi.
"Sebab nak beri sokongan kepadanya.
"Saya harap dia berjaya dalam Kejohanan Dunia setelah impian untuk ke sana tercapai," katanya.