Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, bakal berdepan ujian getir dari segi fizikal dan mental apabila perlu mengharungi dua perlawanan kelayakan dalam tempoh kurang tiga jam di kejohanan Masters Orleans.
Pemain yang kini berada di ranking ke-96 dunia itu dijadual memulakan aksi menentang wakil India, S. Sankar, dalam pusingan pertama kelayakan sekitar jam 5.40 petang waktu tempatan. Sekiranya berjaya, beliau perlu turun semula ke gelanggang tidak lama selepas itu untuk aksi kelayakan kedua.
Advertisement
Pada usia 27 tahun, Zii Jia terpaksa melalui pusingan kelayakan susulan kedudukan ranking semasanya, dan dia sendiri sudah merasai betapa mencabar perjalanan tersebut untuk menembusi undian utama perseorangan lelaki.
Minggu lalu, Zii Jia melalui situasi hampir sama di kejohanan Terbuka Switzerland apabila perlu mengharungi dua perlawanan kelayakan sebelum berjaya melangkah ke undian utama.
Namun, langkahnya terhenti awal selepas tewas straight set kepada pemain Singapura, Jason Teh, dalam pusingan pertama.
Justeru, Zii Jia pastinya mahu menebus kekecewaan itu dan mencipta kempen lebih baik kali ini, apatah lagi kejohanan bertaraf Super 300 ini merupakan medan terakhir sebelum aksi Piala Thomas bulan depan.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Justin Hoh, yang berada di ranking ke-38 dunia, sudah pun layak ke undian utama dan dijadual menentang pemain Chinese Taipei, Chi Yu-jen.
Turut membawa cabaran Malaysia ialah pemain perseorangan wanita K. Letshanaa dan Wong Ling Ching, selain gandingan beregu wanita Ong Xin Yee-Carmen Ting.
Dalam acara beregu lelaki, pasangan Aaron Tai-Kang Khai Xing turut beraksi, manakala Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien mewakili negara dalam acara beregu campuran.