Akhirnya Formula Satu (F1) kembali ke Malaysia, namun terdapat beberapa acara yang perlu dikorbankan demi beri laluan kepada perlumbaan berprestij tersebut selepas kali terakhir ia dilangsungkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2017.
Peminat F1 tempatan bersorak selepas pengumuman rasmi ia kembali ke sini, namun tiket yang bakal dibuka untuk jualan buat peminat tempatan masih menjadi tanda tanya.
Ketua Pegawai Eeksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif, menyifatkan mereka masih lagi dalam perbincangan bersama pihak Bahrain tentang pengagihan tiket.
Namun, Azhan Shafriman menegaskan segala keputusan mengenai harga dan jumlah tiket yang diperuntukkan hanya akan diputuskan Bahrain sebagai penganjur utama yang telah bayar sepenuhnya yuran penganjuran.
"Segala keuntungan penjualan tiket akan kembali kepada Bahrain.
"Saya akan cuba yang terbaik untuk dapatkan harga terbaik tapi kata putus terletak di tangan Bahrain," katanya.
Sementara itu, jarak masa sembilan tahun untuk F1 kembali di Malaysia tampil dengan perbezaan yang amat ketara, jika pada 2017 sambutan agak kurang, namun fenomena f1 yang lebih moden ibarat beri satu masalah yang bagus buat SIC sendiri.
Meskipun ia perlukan beberapa pengorbanan seperti perubahan takwim susulan pembatalan beberapa acara di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) seperti Thailand Super Series 2026 dan difahamkan, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) juga mungkin akan terpalit.