Terengganu terus dirundung kecewa apabila dimalukan Imigresen 1-3 dalam aksi Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Kekalahan kedua berturut-turut itu menyaksikan kedudukan skuad Sang Penyu di tangga kelima kini mula terancam apabila hanya dibezakan dua mata dengan Imigresen FC yang berada di kedudukan keenam.
Advertisement
Tuan rumah bermula cemerlang apabila berjaya membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi kapten pasukan, Raianderson da Costa Morais.
Namun kegembiraan penyokong Terengganu tidak bertahan lama apabila kesilapan pertahanan import, Diego Luiz Landis, menghadiahkan gol penyamaan buat pelawat selepas tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-18.
Terengganu cuba kembali menguasai permainan dan hampir mendahului semula menerusi serangan balas pantas, namun percubaan penyerang import, Yann Mabella, pada minit ke-25 gagal menemui sasaran.
Imigresen kemudian memperoleh sepakan penalti pada minit ke-32 yang disempurnakan dengan tenang oleh penyerang import, Eduardo Jose Vegas, untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan.
Vegas terus menjadi duri dalam daging buat Sang Penyu apabila meledak gol kedua peribadi dan gol ketiga Imigresen FC pada minit ke-48 sekali gus menutup ruang kebangkitan tuan rumah.
Kekalahan itu pastinya memberi tekanan besar kepada Terengganu yang kini perlu segera bangkit sekiranya mahu terus kekal dalam kelompok atasan liga, manakala Imigresen FC pula semakin hampir memberi cabaran serius dalam perebutan kedudukan terbaik musim ini.