Skip to main content

Bola Sepak

Ini nilai pasaran terkini tujuh pemain warisan Harimau Malaya!

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

warisan

Nilai pasaran enam daripada tujuh pemain warisan Harimau Malaya, yang terpalit dengan isu pemalsuan dokumen, kini kembali melonjak.

Tujuh pemain berkenaan, iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, didakwa terlibat dengan kes pemalsuan dokumen dan digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September lalu sehingga nilai pasaran mereka merudum ke nilai sifar.

Advertisement

Bagaimanapun, dengan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menangguhkan hukuman itu pada hujung bulan lalu, kesemua mereka sudah kembali meneruskan karier masing-masing dan sejajar dengan itu, nilai pasaran mereka turut kembali melonjak.

Hasil tinjauan di laman transfermarkt.com, pertahanan tengah berkaliber yang mewakili kelab LaLiga, Deportivo Alaves, iaitu Facundo Garces, kini kembali memiliki nilai pasaran €1 juta (RM4.62 juta), di mana dia juga sudah kembali dalam kesebelasan utama kelab itu.

Selain itu, pemain sayap lincah, Imanol Machuca, kembali memiliki nilai pasaran €1.5 juta (RM6.93), kurang sejuta berbanding nilai pasarannya sebelum terkesan dengan dakwaan berkenaan.

Trio Johor Darul Ta'zim (JDT), iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, juga sudah kembali memiliki nilai pasaran, masing-masing dengan €1.2 juta (RM5.55 juta), €500,000 (RM2.31 juta) dan €350,000 (RM1.61 juta).

Penyerang sensasi, Rodrigo Holgado, yang kini dipinjamkan ke kelab Chila, Coquimbo Unido, kini bernilai €250,000 (RM1.15 juta).

Bagaimanapun, belum ada sebarang kemaskini nilai pasaran pertahanan sayap muda, Gabriel Palmero, tetapi pemain itu juga sudah kembali beraksi dan menjaringkan gol bersama kelab barunya, Kuching City.

 

Must Watch Video