Kejohanan Trek Remaja Kebangsaan 2026 terus menjadi pentas terbaik mencungkil bakat baharu berbasikal trek negara apabila beberapa pelumba muda menyerlah dengan prestasi membanggakan di Velodrom Nasional Nilai.
Antara yang mencuri perhatian ialah pelumba Johor, Irshad Farhan yang tampil cemerlang menjuarai acara 1 kilometer ujian masa lelaki bawah 19 tahun.
Lebih menarik, kejayaan tersebut hadir bersama impian besar yang disimpan oleh atlet muda itu untuk suatu hari nanti mengikut jejak legenda berbasikal negara, Azizulhasni Awang.
Menurut Irshad, beliau mengagumi teknik kayuhan serta kebijaksanaan taktikal Azizulhasni ketika berlumba, sekali gus menjadikan ikon berbasikal negara itu sebagai sumber inspirasi utama dalam kariernya.
“Saya nak jadi macam Datuk Azizulhasni Awang dan beraksi di Olimpik 2032,” katanya.
Atlet kelahiran Johor itu turut menyimpan impian untuk membawa pulang pingat emas buat Malaysia sekiranya berpeluang beraksi di pentas Olimpik yang dijadual berlangsung di Brisbane, Australia pada 2032.
Dengan kelebihan fizikal yang tegap dan sesuai untuk acara pecut, Irshad dilihat mempunyai potensi besar untuk berkembang menjadi pelumba elit negara pada masa hadapan.
Bagaimanapun, dia mengakui masih banyak perkara perlu dipelajari dan berharap diberikan masa enam tahun lagi untuk membina kekuatan serta pengalaman sebelum mampu bersaing dengan pelumba terbaik dunia.
Pada perlumbaan akhir 1 kilometer ujian masa lelaki bawah 19 tahun, Irshad mencatat masa 1 minit 5.391 saat untuk muncul juara dan mengesahkan statusnya sebagai antara prospek paling cerah dalam program pembangunan berbasikal negara.
Sementara itu, seorang lagi bintang muda yang mencuri tumpuan ialah Sawda Hasbullah apabila muncul juara acara 1 kilometer ujian masa wanita bawah 19 tahun.
Sawda mempamerkan kayuhan bertenaga untuk merekodkan masa terpantas 1 minit 10.609 saat sekali gus mengungguli saingan dan mengesahkan reputasinya sebagai antara pelumba muda wanita terbaik negara ketika ini.
Menurut Sawda, disiplin tinggi serta sokongan berterusan daripada jurulatih banyak membantu dirinya mengurus masa dengan lebih efektif.
Keupayaannya mengekalkan prestasi cemerlang di velodrom sambil memberi perhatian terhadap pelajaran menjadi bukti bahawa kejayaan dalam sukan dan akademik boleh dicapai secara seiring.
Selepas menamatkan persekolahan, Sawda bercadang melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Pengurusan Sukan sebagai persediaan menghadapi masa depan, selain terus mengembangkan karier dalam arena berbasikal trek.
Kejohanan Trek Remaja Kebangsaan 2026 sekali lagi membuktikan Malaysia tidak ketandusan bakat muda, dengan kemunculan pelumba seperti Irshad dan Sawda yang berpotensi menjadi pewaris kegemilangan sukan berbasikal negara pada masa hadapan.