Skip to main content

Berbasikal

Izzah perlu segera kembalikan keyakinannya -- John Beasley

John

Pengarah Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), John Beasley, menyifatkan ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, perlu segera mengembalikan keyakinannya sekiranya mahu kembali sebaris dengan pelumba terbaik dunia yang lain.

Menurut Beasley, prestasi semasa Izzah masih belum menunjukkan perkembangan yang diharapkan selepas penampilannya dalam Sukan Olimpik Paris 2024.

Advertisement

“Sejujurnya, melihat keadaan Izzah ketika ini, dia sepatutnya sudah menunjukkan peningkatan sejak Olimpik,” katanya.

Tambah Beasley lagi, keyakinan merupakan faktor penting dalam prestasi seorang atlet elit.

“Keyakinan adalah satu perkara besar, tetapi ketika ini dia tidak berada pada tahap meyakinkan seperti ketika dia di Paris,” jelas Beasley.

Bagaimanapun, dia berkata Izzah tidak perlu panik dengan situasi semasa, sebaliknya perlu meningkatkan aspek profesionalisme serta taktikal perlumbaan.

“Dia perlu lebih profesional bukan sahaja di trek ketika latihan, tetapi juga di luar trek.

“Dia juga perlu memperbaiki aspek taktikal.

“Jika dia mahu berada di tahap Olimpik, perkara ini perlu ditangani,” katanya lagi.

Beasley yakin sekiranya aspek tersebut berjaya diperbaiki, keyakinan dan prestasi Izzah akan kembali meningkat.

“Jika kita dapat perbaiki perkara ini, keyakinan akan kembali dan keputusan yang baik juga akan menyusul,” kata Beasley ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.
 

Must Watch Video