"Kecederaan paha saya akan kekal seperti ini."
Demikian penjelasan beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri, mengenai kecederaan yang dialaminya dan berkemungkinan tidak dapat sembuh sepenuhnya.
Namun, ia bukan penghalang kepada gandingan bersama Bryan Jeremy Goonting untuk mencipta kejayaan di Cabaran Antarabangsa Phuket dan Terbuka Macau, bulan depan.
Menurutnya, keserasian dengan Bryan semakin menunjukkan perkembangan positif meskipun Haikal menasihati Bryan agar lebih mengawal emosi dan mempelbagaikan corak permainannya.
"Paha saya akan kekal keadaan seperti ini, tiada akan capai 100 peratus biarpun selepas pembedahan.
"Ia menyukarkan pergerakan berdaya tinggi yang ingin saya lakukan," katanya.
Sementara itu, Bryan mengakui Haikal banyak membantunya dalam soal mentaliti biarpun ketinggalan apabila berdepan lawan.
Haikal juga disifatkan sebagai tenang dan pengajaran paling bermakna menurut Bryan, adalah ketika tewas menentang gandingan sensasi India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty -- satu gandingan yang sukar untuk ditewaskan.
"Dia senior yang bagus dan kami menyasarkan untuk tersenarai sekitar ranking 32 dunia," katanya pula.