Pelumba Kejuaraan TVS Asia One Make, Mohd Ramdan Rosli, mengakui dia perlu lebih berdisiplin dalam mengawal pemakanan sepanjang bulan Syawal demi memastikan prestasi kekal berada pada tahap terbaik.
Ini kerana saingan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Asia bakal berlangsung dalam tempoh sama, sekali gus menuntut tahap kecergasan dan fokus yang tinggi tanpa kompromi.
Advertisement
Dalam masa sama, Ramdan turut bertekad membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus mencipta kejayaan, malah yakin pengalaman yang dimilikinya menjadi kelebihan utama untuk bersaing musim ini.
Lebih menarik, dia sudah melakukan persiapan rapi dari segi strategi dan teknikal bagi mengekang pencabar utamanya, Hiroki Ono. Ramdan jelas tidak mahu episod kekecewaan musim lalu berulang, selepas tercicir mata penting di pusingan akhir akibat masalah jentera.
Selain bergelar pelumba, Ramdan kini menggalas peranan lebih besar apabila turut menceburi bidang kejurulatihan dan pengurusan sebagai tonggak pasukan SSC Honda dalam saingan MAM Malaysia Superbike Championship.
Peranan berganda ini dilihat sebagai cabaran baharu buatnya, namun dalam masa sama membuka ruang untuk beliau terus menyumbang kepada pembangunan sukan permotoran tempatan, baik di dalam mahupun di luar litar.