Orang kata wanita ada keterbatasannya berbanding lelaki, terutama apabila usia semakin meningkat, namun usia lebih setengah abad tidak menghalang Sporty Spice menyerlah pada penyertaan sulungnya di acara perlumbaan kecergasan antarabangsa paling popular, Hyrox, tetapi kata kuncinya adalah konsisten.
Sporty Spice atau nama sebenarnya Melanie Jayne Chisholm yang juga dikenali sebagai Mel C, menamatkan kesemua 8 halangan serta set larian dalam masa 01:18 pada usia 52 tahun, dimana kejayaannya itu dikongsikan di Instagram peribadi dan juga akaun rasmi Hyrox pada Ahad lalu.
Advertisement
Mel C cukup popular pada sekitar 1990an dan 2000an bersama kumpulan pop British, Spice Girls yang turut dianggotai isteri kepada pemain bola sepak England, Victoria Beckham atau Posh Spice.
Namun, penyertaan sulung Mel C di Hyrox didorong seorang lagi anggota kumpulan Spice Girls iaitu Emma Bunton atau Baby Spice yang melihat kegilaannya dalam melakukan latihan kecergasan di gimnasium saban tahun.
Keterujaan peminat yang rata-ratanya dari generasi X dan Y untuk menyaksikan Mel C melakukan sled push, sandbag lunges atau wall balls pada Hyrox seterusnya bagaimanapun tidak kesampaian apabila penulis lagu dan penyanyi itu mengesahkan terlepas siri perlumbaan di London kerana terikat dengan jelajah ketika ini.
Konsistensi Mel C untuk kekal cergas juga telah membantunya meningkatkan kualiti kesihatan apabila sebelum ini, dia terbuka untuk berkongsi masalah kemurungan yang dihadapinya selepas Spice Girls berpecah, sehingga turut didiagnosis dengan tabiat pemakanan tidak teratur.
Jadi kepada generasi X dan Y, terutama yang terkena demam pelari kultur sebelum ini, jangan takut dan segan untuk mengembangkan pula sayap kepada Hyrox yang turut memerlukan kepantasan larian. Ambil peluang keemasan apabila Hyrox tiba di Malaysia secara rasminya pada Disember 2026 nanti.