Penjaga gol berpengalaman, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, berminat untuk terus kekal menabur bakti bersama Kuala Lumpur (KL) City bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) mendatang.
Keakraban serta keharmonian pasukan menjadi faktor utama dia gembira untuk menyarung jersi The City Boys.
Bekas penjaga gol kebangsaan itu masih belum terfikir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada karier bola sepak profesional tatkala usianya mencecah 33 tahun ketika ini.
"Buat masa ini belum ada hala tuju lagi tapi perbincangan itu sudah ada cuma belum ada sebarang kontrak lagi.
"Saya ingin kekal kerana serasi dengan rakan sepasukan dan kelab.
"Saya dapat beraksi satu perlawanan sahaja musim ini dan kalau keka, saya akan terus bekerja keras untuk dapatkan minit permainan. Sementara ada kudrat ini, saya ingin capai hasrat peribadi," katanya.
Musim lalu, Hafizul Hakim hanya beraksi sekali bersama skuad Warga Kota ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di pentas separuh akhir kedua Piala Malaysia.