Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PDRM FC, ASP Mohamad Hafiz Zainal Abidin, menegaskan pihaknya komited untuk memastikan Sang Saka Biru kekal beraksi di pentas Liga Super musim depan.
Meskipun bergelut dengan isu luar padang sepanjang musim lalu, Hafiz memberi jaminan situasi itu tidak lagi akan berulang terutama dengan kehadiran penaja baru yang sudah menunjukkan minat untuk bersama-sama dengan pasukan.
"Terima kasih FIB (First Instance Body) dan MFL (Malaysia Football League) kerana memberi sedikit ruang untuk dokumentasi dan semua maklumat.
"Kami jamin untuk kekal. Kami tidak lari, tidak menyembunyikan apa-apa masalah.
"Kami membincangkan permasalahan yang berlaku dan memohon semua pihak beri ruang bagi memastikan kami terus berada dalam Liga Super dan bersaing untuk musim 2026/27," katanya di Nadi Arena.
Untuk rekod, The Cops menamatkan kempen Liga Super 2025/2026 di kedudukan tercorot hasil daripada dua kemenangan serta 17 kali tewas.
"Alhamdulillah telah selesai lapan bulan.
"Ada penaja yang telah beri jaminan akan masuk dalam masa terdekat.
"Masih ada beberapa bulan lagi dan baki tunggakan gaji itu akan diselesaikan dalam masa dua bulan," katanya.