Bermula selaku pasukan bukan pilihan bagi musim ini, Terengganu berjaya menamatkan kempen peringkat kumpulan Kejuaraan Ragbi Piala Agong edisi ke-42 musim ini dengan rekod tanpa kalah sekaligus menempah tiket ke penentuan suku akhir yang dijadualkan bermula pada 13 Jun depan.
Terdahulu, Terengganu hadir selaku pasukan pelawat melakar kemenangan pada minit-minit akhir permainan setelah menewaskan juara bertahan, Polis diRaja Malaysia (PDRM), 26-25 di padang PULAPOL, Kuala Lumpur, dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.
Ketinggalan dalam separuh masa pertama berkeputusan 15-13 yang memihak kepada pasukan tuan rumah, memaksa ketua jurulatih Hafiizh Zainal merombak taktikal pasukan dengan melakukan pertukaran beberapa pemain mula memberi tekanan setelah berjaya meraih tambahan 3 mata melalui tendangan penalti di minit ke-43 separuh masa kedua permainan.
Selang lima minit kemudian PDRM kembali mendahului permainan 20-16 setelah mendapat jatuhan try untuk tambahan 5 mata namun keghairahan pasukan tuan rumah mula mencipta kesilapan memberi peluang untuk Terengganu kembali mendahului permainan 26-20.
Tersentak dengan situasi semasa, pasukan tuan rumah yang hadir dengan reputasi selaku penyandang juara musim mula berhempas pulas untuk merapatkan jurang namun hanya mampu menambah 5 mata jatuhan try pada minit ke-73 permainan berkeputusan 26-25 memihak kepada Terengganu.
Situasi yang kian tegang pada minit-minit akhir permainan yang mampu mengubah keputusan, Terengganu berjaya menyerap tekanan sekaligus menamatkan aksi peringkat kumpulan ini yang hanya berjurangkan 1 mata untuk terus kekal rekod tanpa kalah menewaskan PDRM di laman sendiri.
"Secara realisitik, bukan laluan mudah untuk Terengganu berbanding musim lalu di mana kita boleh lihat jurang mata kemenangan adalah tipis bagi setiap perlawanan peringkat kumpulan apatah lagi untuk perlawanan hari ini bertemu juara bertahan. Namun keputusan hari ini adalah penting untuk kami melangkah ke penentuan suku akhir nanti.
"Beraksi di penentuan suku akhir adalah episod baru untuk Terengganu di mana kami perlu menanti ke semua perlawanan peringkat kumpulan berakhir sebelum membuat percaturan baru untuk perlawanan seterusnya. Kami hadir selaku pasukan bukan pilihan untuk musim ini jadi sukar untuk kami meletakkan sebarang sasaran awal kejuaraan kali ini," ujar ketua jurulatih Terengganu Hafiizh Zainal.
Minggu ke-3 kejuaraan Piala Agong edisi ke-42 ini turut menyaksikan Angkatan Tentera Malaysia(ATM) berjaya menewaskan Kedah berkeputusan 27-24 di Universiti Utara Malaysia(UUM), Sintok, Kedah. Manakala bagi perlawanan di antara Johor bertemu Negeri Sembilan di Stadium Pasir Gudang, Johor dijadualkan berlangsung pada petang Ahad.
Pemain scrumhalf Terengganu, Mohamad Nasharuddin Ismail(memegang bola) di antara watak penting untuk Terengganu melakar rekod tanpa kalah setelah menafikan PDRM berkeputusan 26-25 di padang Pulapol, Kuala Lumpur pada 30 Mei 2026.
Kredit Foto - Faiz Azizan