Skip to main content

Bola Sepak

Rasmi: Hanya 12 pasukan beraksi dalam Liga Super 2026-27

liga super logo

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) (MFL) hari ini mengumumkan hanya 12 kelab akan bersaing merebut kejuaraan Liga Super 2026-27, yang membuka tirai 21 Ogos ini.

Kelab yang telah mengesahkan penyertaan itu ialah, juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City, Selangor, Kuala Lumpur City, Terengganu, Star City (Imigresen), Negeri Sembilan, Penang, Sabah, DPMM dan Melaka.

Baki satu lagi slot lagi akan diketahui pada 16 Julai ini apabila badan bebas, First Instance Body (FIB), akan bersidang dalam menentukan status PDRM FC. Kelab itu telah diberikan lesen berserta sekatan (licence with sanction) dengan tempoh pematuhan sehingga 15 Julai 2026 bagi mengemukakan maklumat tambahan untuk memenuhi keperluan Kriteria Kewangan serta Kriteria Infrastruktur.

Keputusan FIB ke atas status PDRM FC ini juga akan turut diambil pertimbangan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL, yang akan melihat secara menyeluruh tahap kesediaan dan kelangsungan kelab itu untuk menguruskan operasi sepanjang musim 2026-2027.

Sekiranya PDRM FC gagal dalam penyerahan maklumat berkenaan, slot satu lagi pasukan Liga Super 2026-27 akan diisi kelab Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warrior (KRW).

KRW, yang menduduki tangga keempat Liga A1 musim lalu, telah melengkapkan segala dokumen bagi kriteria kewangan serta dilihat lebih bersedia berbanding UM Damansara United FC (keenam Liga A1) dan Bunga Raya FC (ke-12 Liga A1), yang turut mengemukakan permohonan selepas mendapat Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada FIB.

Bagaimanapun, satu lagi kelab Liga A1, Armed Forces FC, tidak memohon untuk bertanding dalam Liga Super 2026-27.

"Penyertaan 12 kelab bagi musim 2026-2027 dilihat dapat memberikan impak positif kepada ekosistem liga kerana hanya kelab yang benar-benar memenuhi syarat pelesenan, kewangan dan infrastruktur layak bertanding. Ini akan membantu memastikan setiap perlawanan lebih kompetitif dan berkualiti." kata kenyataan itu.

"Pengurangan bilangan pasukan mengurangkan risiko penyertaan kelab yang tidak bersedia daripada segi kewangan dan ini selari dengan pelaksanaan Financial Fair Play (FFP), yang memberikan fokus kepada pengurusan kewangan berhemah, pembayaran gaji yang konsisten dan kelangsungan operasi kelab.

"Selain itu, ia dilihat dapat mengurangkan bebanan kos operasi dan pengurusan kelab susulan pengurangan perlawanan serta penjadualan perlawanan yang lebih tersusun.

"Ini jelas selari dengan keutamaan MFL dalam membina liga yang lebih berkualiti, mampan dan berdaya saing bagi memberikan nilai terbaik kepada penyokong, rakan penaja, penyiar serta semua pihak berkepentingan."

 

Anda mungkin berminat dengan

Garmin Forerunner 70 / Forerunner 170 GPS Running Smartwatch

Garmin Forerunner 70 / Forerunner 170 GPS Running Smartwatch

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

Shokz OPENRUN PRO 2 Open-Ear Bone Conduction Sport Headphones | Noise Cancelling | IP55 Waterproof | Superior Sound

Shokz OPENRUN PRO 2 Open-Ear Bone Conduction Sport Headphones | Noise Cancelling | IP55 Waterproof | Superior Sound

Nike Men's Mercurial Vapor 17 Pro Firm-Ground Low-Top Soccer Cleats - Multi-Color [IO8225-900]

Nike Men's Mercurial Vapor 17 Pro Firm-Ground Low-Top Soccer Cleats - Multi-Color [IO8225-900]

adidas Football AFA ARGENTINA SHOE BAG Unisex Blue KE7102

adidas Football AFA ARGENTINA SHOE BAG Unisex Blue KE7102

Must Watch Video