Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, memaklumkan keputusan drastiknya meninggalkan skuad kebangsaan diambil atas faktor peribadi demi mengejar cita-citanya dalam karier kejurulatihan.
Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan telah mencapai kata sepakat dengan Cklamovski untuk membawa haluan masing-masing berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Tidak sampai 24 jam meninggalkan Kelana Jaya, Cklamovski kemudian diumumkan sebagai pengurus kelab divisyen empat England, Salford City, yang dimiliki oleh duo legenda England, David Beckham dan Gary Neville.
"Ini adalah keputusan peribadi untuk mengejar cita-cita karier saya," katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Saya mencintai setiap saat saya bekerjasama dengan skuad kebangsaan, pemain dan staf yang luar biasa, dan apa yang kami bina secara dalaman menerusi program pasukan kebangsaan merupakan sesuatu yang amat istimewa dan akan kekal dalam hati saya.
"Mentaliti pasukan yang saya bina, jenama bola sepak yang kami mahu tampilkan untuk menginspirasikan seluruh negara, dan yang paling penting menginspirasikan generasi seterusnya yang amat dekat dengan kami, akan kelal dalam hati saya selamanya.
"Saya mendoakan segala yang terbaik buat bola sepak Malaysia, saya akan menyokong pasukan kebangsaan dari jauh."