Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V (KGV) benar-benar mahu melakar sejarah berharga selepas menjuarai Majlis Sukan Sekolah (MSS) Negeri Sembilan dan terbaru, menjulang gelaran edisi sulung Challenge Trophy, Super Schools Rugby.
Juga membingungkan adalah bagaimana seorang pemain di posisi fullback yang dianggap pertahanan terakhir mampu menjadi watak penting kemenangan, namun itulah yang diperagakan pemain terbaik perlawanan akhir, Muhammad Muhaimin Mohd Yusof.
Advertisement
Dilihat kerap memulakan gerakan dari bahagian belakang sebelum menyusup masuk mengucar-ngacirkan kubu pertahanan Sekolah Menengah Sains Machang (SMACH), hasilnya dua try penting Muhaimin menjadi titik tolak kemenangan final penuh drama memihak KGV 24-3 sebentar tadi.
Sementara itu, kapten pasukan, Muhammad Naqib Hakimi, yang turut menyumbang try pertama percaya kejayaan itu hadir hasil persefahaman jitu antara pemain walaupun berlainan umur, dengan budaya asrama menjadi kelebihan besar untuk membina keakraban dan keserasian.
"Keserasian kami dibina sejak dari tingkatan tiga lagi," katanya.
Selepas dinobatkan juara Challenge Trophy SSR, KGV perlu bersiap sedia untuk satu lagi cabaran baru apabila dijadualkan bertemu Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) dalam aksi 'wildcard' divisyen premier, dengan misi utama mencatat kemenangan dalam pertemuan pertama, selain memberi cabaran hebat kepada pasukan kategori premier itu.
Dalam pada itu, jurulatih SMACH, Mohd Iqbal Abd Rahman, memuji semangat juang ditunjukkan anak buahnya dan bertekad untuk kembali lebih kuat pada edisi akan datang.
"Ini pengalaman pertama kami, tahun depan kami akan cuba yang terbaik lagi.
"Saya sendiri masih baru dalam kejohanan besar ini," katanya pula.