Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, menetapkan sasaran final buat skuad lelaki negara dalam acara regu dan regu berpasukan menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada September depan.
Meskipun dilabel selaku pasukan pilihan bagi kedua-dua acara itu, Sumali bagaimanapun mengingatkan anak buahnya untuk tidak mengambil mudah saingan yang bakal ditampilkan pasukan lain.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menuai pingat emas bagi acara regu berpasukan ialah ketika edisi Beijing, China pada 1990 manakala bagi acara regu pula ketika di Jakarta-Palembang, Indonesia pada 2018.
"Bagi kategori lelaki, tiada jalan pintas lain untuk ke final melainkan menang semua perlawanan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Kita boleh ke final dengan syarat tidak boleh gagal walaupun satu perlawanan di peringkat kumpulan.
"Jika kita gagal, dikhuatiri kita akan bertembung lebih awal dengan pasukan Thailand.
"Mungkin ada sedikit cabaran lebih besar di peringkat kumpulan acara regu kerana kita sekumpulan dengan Myanmar dan Vietnam.
"Sewaktu Piala Dunia lalu, kita tewas kepada Myanmar, jadi ia mungkin akan menjadi satu cabaran.
"Bagi acara berpasukan, jika momentumnya masih kekal dengan prestasi yang baik, saya yakin kita akan ke final.
"Kita juga berharap tekong utama kita, Syahir Rosdi, akan sempat pulih kerana masih ada masa untuk dia kembali daripada kecederaan."