Menjelang pusingan pertama Kejuaraan Petronas MAM Malaysian Cub Prix pada 25 dan 26 April depan, Danial Syahmi yang mewakili pasukan Yamaha Maju Motor Racing Team masih dalam penyesuaian dengan jentera baru ekoran perubahan peraturan teknikal kelas CP150 yang menuntut pendekatan berbeza musim ini.
Danial mengakui peralihan daripada model Yamaha Y15 ZR ke Y16 ZR memerlukan adaptasi segera terutama dari aspek gaya tunggangan.
Advertisement
Ia susulan karakter jentera yang lebih berat dan berbeza daripada segi pengendalian termasuk dalam situasi 'flip-flop' serta 'hard braking' yang masih perlu diperhalusi.
Bagaimanapun, pelumba yang menduduki tempat keenam keseluruhan edisi 2025 ini kekal optimis dan tumpuan utama adalah untuk memberi saingan sengit bermula di Litar Tangkak bulan ini, dalam pemburuan kelompok tiga terbaik keseluruhan.
"Tahun ini Cub Prix peraturan kami juga sudah berbeza denga pasukan kami gunakan jentera Y16, jadi ada perubahan daripada aspek gaya tunggangan.
"Kerana jentera berbeza, spek juga berbeza jadi perlu lebih bekerja keras untuk raih keputusan terbaik.
"Jentera ini sedikit berat untuk lakukan 'flip-flop' selain pengendalian juga lebih bagus. 'hard braking' juga sedikit kurang sedikit kurang. Ada kelebihan dan kekurangan.
"Tahun lalu yang merupakan tahun pertama saya tamat di P6, sasaran saya untuk berjuang untuk berada dalam kelompok tiga terbaik." katanya.
Berbaki 24 hari ke permulaan di Litar Lumba Tangkak iaitu perlumbaan tunggal bulan ini, sebelum pusingan kedua menyaksikan saingan beralih ke Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada bulan Mei ini.
Secara keseluruhan terdapat lapan pusingan musim ini yang akan melabuhkan tirai pada bulan November di Medini Iskandar di Iskandar Puteri, Johor.